Jumat, 11 Juni 2010

Buktikan Dengan Senyuman

Aku seperti kamu. Dalam hidupku aku temui ramai bidadari. Takut aku hendak menghampiri mereka, khuatir diriku sendiri yang akan membawa luka kepada mereka yang menyayangi aku.' Itu kata-kata Laith. Berulang-ulang kali aku sebut dalam hatiku. Terlalu besar keinginanku untuk memahaminya. Tapi hanya Tuhan tahu apa maksudnya… hanya Tuhan mengetahui perasaannya, sebagaimana Dia sahaja yang mengetahui perasaanku.
Laith tahu. Dia tahu rancangannya sendiri. Dia tahu dia, mahupun aku, kami berdua takkan ke mana jika kami terus bersama. Dari dulu lagi dia tak ada sebab untuk percaya yang aku akan setia dengannya. Mungkin kerana dia sendiri tak pernah setia. Aku masih muda katanya. Ramai lagi orang yang bakal aku temui sepanjang hidupku. Kini aku rasakan itu benar. Jurang perbezaan dan umur antara kami tak mampu dirapatkan.
Aku masih terlalu muda, dan seperti itu jugalah aku akan kekal pada dia sampai bila-bila. Terlalu muda dan tak sematang dia. Dia takkan mahu menunggu suatu yang tak pasti akan berlaku. Kalau aku, mungkin akupun akan begitu.Mungkin aku dan dia telah terpisah lama sebelum pertemuan kami lagi.

Dia dah pun bernikah, dengan perempuan yang tak berhak dilukai, oleh dia sendiri dengan kisah silamnya, mahupun oleh aku yang terlebih dulu mengenali dan mencintai dia… lebih-lebih lagi lah aku. Dusta lah namanya kalau aku katakan aku tak cemburu pada perempuan yang bergelar isterinya itu. Tapi mungkin aku patut bersyukur, kerana wanita itu aku lepas daripada banyak kesilapan. Silap yang mungkin lebih dari sekadar silap. Terlepas . Kerana wanita itu… kerana pilihan Laith sendiri. Mungkin aku bertuah kerana dia tak memilih aku.
Entah benar atau tidak, mungkin aku takkan tahu… samaada cinta dia pernah bersama aku. Tak mungkin dia dapat mereka-reka perasaan sedalam itu jika langsung tidak pernah dirasainya biarpun sedikit cinta kepada aku.Tapi soalan itu rela aku tinggalkan seadanya. Biar luput sekali dengan harapan aku, harapan yang memang rasanya sudah terlalu sedikit untuk diakui wujud lagi dalam fikiranku.
Keadaan tak lah seteruk mana.
Lebih teruk jika dia tinggalkan aku untuk bersama perempuan lain yang akan ditinggalkannya juga suatu hari nanti. Jika itulah yang terjadi, memang hatiku takkan mampu lagi mencari sebab untuk mempertahankan dia. Sepertimana yang aku lakukan selama ini. Cuba mencari alasan untuk meyakinkan diriku bahawa dia lelaki yang baik.
Lebih teruk lagi jika dia sudah bergelar suami pada ketika dia bersama aku, mengikrar sayang dan setianya padaku sedangkan sayangnya itu sepatutnya diberi kepada orang lain, hak milik orang lain.
Tapi jika dia tinggalkan aku sebagai usahanya untuk membina cinta sebenar, aku relakan. Mungkin aku hanya seorang yang entah bagaimana tersesat dalam pencarian dia, dan dia tersesat dalam pencarianku. Hakikatnya dia telah berkahwin. Jadi tanggungjawabku adalah untuk memastikan aku tidak terus menjadi pihak ketiga dalam cerita mereka berdua. Tanpa ku sedari,mungkin itu lah kedudukanku selama aku bersamanya…sebagai pihak ketiga. Dari awal sampai akhir, meskipun aku terlebih dahulu mencintai Laith. Dan dengan doa ikhlasku agar mereka bahagia, aku tarik diriku jauh.
Laith pernah katakan pada ku dulu, takkan dia biarkan apapun halang cinta kami. Dan jika dia tak pernah memaksudkan katanya itu padaku, biarlah dia ungkapkan pada isterinya sekarang kata itu sebagai janji.

Tuhan tolong aku alihkankan hidupku menuju arah yang baru. Tuhan yakinkan aku, aku tak tercicir cinta pada apa yang dah berlalu. Kadang-kala pada masa aku seorang dan perlukan sokongan, yang terlintas di fikiranku adalah nama dia. Laith… masih lagi Laith. Nama itu seperti terlalu nyata dalam mindaku, tak dapat aku sembunyikan. Tuhan maafkanlah aku jika mengungkapkan nama Laith dalam hati ini suatu dosa.
Tamparan itu tak pernah tersipi. Yang mengenai aku itu bukanlah tempiasnya, Takkan senang aku gagahi, melepasi semua kesukaran ini. Tapi moga Tuhan permudahkan buat aku. Sesungguhnya Laith ditakdirkan untuk kekal diluar gapaian hidupku. Dia bukan untukku.
Aku masih melalui jalan-jalan yang kami lalui bersama dulu. Aku masih terpaksa hadapi pemandangan yang sama selagi aku ada disini. Masih lagi langit tanpa awan yang sama, angin laut hangat yang sama. Aku bagai masih tak terkeluar dari mimpi lama. Dunia ini, hidup ini terlalu indah… walaupun tanpa dia. Aku tak perlu tinggalkan semua ini hanya untuk tinggalkan kenangan pada tempatnya. Waktu-waktu itu akan terlucut sendiri dari jam tanganku. Tarikh-tarikh itu akan luput juga, tertanam dalam tulisan tangan ku sendiri dalam diari. Biar terbuku dengan kiriman ingatan sekali-sekala. Biar aku terus dalam mimpi ini, asalkan aku tak lena semula. Biar aku dan aku sendiri.
Aku percaya sesetengah perkara terlalu rumit untuk dimengerti. Tapi biarlah… kadang-kala jauh lebih baik begitu. Ada kebenaran yang tak perlu dibongkar. Apa gunanya lepaskan fikiran merayau liar dalam kemungkinan yang tak berpenghujung?

Kelu lidahku katakan sayang jika tiada maknanya pada orang lain. Biarlah, tak usah aku ungkapkan lagi dalam masa terdekat ini. Jangan sampai aku belajar untuk merasa walau sedikit benci pada perkataan itu. Sesungguhnya sayang itu amat dalam. Biar aku fahami setiap inci kedalaman itu dahulu sebelum aku ucapkannya lagi bila ketika itu tiba nanti. Tunggu aku pasti caranya untuk kekal di tebing sayang yang diucapkan kepadaku oleh orang yang tidak tahu kedalaman sayangnya sendiri. Antara banyak-banyak orang, aku belajar dari Laith… jangan terlalu mudah memberi apabila yang diberi itu cinta.
Kini cintaku sendiri sudah tiada pada aku. Laith tak pernah pulangkan apa yang diambilnya daripadaku. Baik benda itu konkrit, ataupun perasaan… semuanya menjadi milik dia untuk dibuang. Aku tak harus ambil kisah… aku mampu bina semula perasaan yang telah hilang, aku mampu cari sejahteraku sendiri, dan aku mampu buat semua itu tanpa mana-mana lelaki, apa tah lagi dia. Kami tak berhutang apa antara kami. Tiada apa untuk dilangsaikan. Cerita kami… sudah lama tamat, itupun kalau ia pernah wujud.

Aku menanti masa depan yang cerah. Banyak yang perlu aku usahakan. Biar itu jadi tumpuanku sekarang. Aku dah tak punya alasan untuk kekal tak berganjak. Aku bebas untuk membawa diriku ke hujung dunia, jika itu yang perlu. Tak ada sekatan, tak ada hati lain yang perlu aku risaukan. Yang ada cuma impianku sendiri. Impian yang wujud lama sebelum aku mengenali Laith. Ya, dialah yang memperkukuhkan impianku, dia merapatkan jurang antara aku dan kejayaan itu. Tapi dia bukan separuh kekuatanku.
Dulu ada orang yang selalu ingatkan aku, yakinkan aku. Aku boleh mengadu, merengek meminta dibebaskan dari keraguan, dari kerisauan yang sungguh merimaskan. Dialah yang selalunya menyelesakan aku. Aku jumpa rasa selamat dalam setiap kata-kata Laith. Dia bagaikan sudah lebih yakin dari diriku sendiri, yang aku boleh mengharungi halangan-halangan yang menantiku. Mungkin kerana itu juga lah dia sanggup tinggalkan aku. Dia tahu aku takkan apa-apa. Dia tahu aku boleh hidup tanpa dia.
Kini aku hanya ada diriku sendiri. Aku bergantung pada diriku sendiri.Dan aku mampu. Entah aku mampu samaada kerana terpaksa, atau memang itu yang sepatutnya.
Jikalah suatu hari nanti aku bertemu dengan Laith semula, aku takkan berkata apa. Biar dia lihat sendiri sejauh mana aku boleh bawa diriku. Aku kira dia juga takkan terkata apa. Pada masa itu, aku akan berada pada kedudukan diluar bayangan dia. Cukuplah jika aku dapat buktikan diriku, dengan hanya sekadar senyuman. Aku pasti dia akan mengerti, cukup untuk menyedari kemampuanku. Tak perlu lebih dari itu. Aku tahu hakikat masa laluku, begitu juga dia. Biarlah hakikat itu kekal hanya dalam pengetahuan kami masing-masing.
Kalau kita cintakan sesuatu, bebaskanlah ia...

Tidak ada komentar:

Posting Komentar